Oleh `Izzat Anwari bin Hasni
Pengharaman budaya tomboi dan pengkid oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-83 di Kota Bharu pada 24 Oktober 2008 yang lalu mendapat kritikan pedas daripada beberapa golongan masyarakat dan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO). Malah, lebih memilukan lagi, golongan 'pengkid Islam' menjawab isu ini dengan keilmuan yang cetek serta tidak beradab di dalam satu temubual akhbar Harian Metro.
Situasi ini menggambarkan kepada semua umat Islam di Malaysia khususnya, bahawa pengamalan cara hidup Islam yang menyeluruh seolah-olah dianggap sebagai taboo. Kesan sebegini timbul akibat sikap serta pemikiran kebanyakan umat Islam di Malaysia yang sudah dijangkiti sekularisasi dan liberalisasi aqidah hasil daripada usaha golongan Islam Liberal.
Demonstrasi yang dibuat oleh Katagender dan Food-Not-Bombs boleh dilihat sebagai satu kesilapan umat Islam dalam menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar kepada golongan bukan Islam terhadap institusi Islam di negara ini. Demonstrasi yang dilihat seakan-akan membela kaum pengkid ini sebenarnya berasaskan penafian sistem Islam yang diguna pakai dalam Perlembagaan Persekutuan.
Lebih menggetarkan lagi apabila penafian ini dilakukan di khalayak ramai seolah-olah mencabar status Majlis Fatwa Kebangsaan secara terbuka.
Aqidah Islam
Islam datang dengan penurunan al-Qur'ān serta dijelaskan melalui al-Sunnah. Malah, pentafsiran hukum-hakam di dalam al-Qur'ān serta al-Sunnah bukannya boleh dibuat secara membuta tuli.
Kemahiran dalam bahasa Arab terutama dalam loghat dan faham Bani Quraisy, kefahaman tentang sebab-sebab penurunan ayat-ayat al-Qur'ān (asbab al-nuzul), hadith-hadith yang menerangkan maksud ayat-ayat al-Qur'ān yang tertentu, pengguguran hukum tertentu dalam al-Qur'ān setelah turunnya ayat hukum yang lain, pemahaman terhadap sistem sosial serta amalan tertentu masyarakat Arab ketika al-Qur'ān diturunkan, semua ini menunjukkan kepada kita bahawa bukan calang-calang keilmuan serta kefahaman yang diperlukan oleh alim ulama' dalam mentafsir al-Qur'ān dan al-Sunnah.
Pentafsiran ini penting buat semua umat manusia sebagai kompas petunjuk jalan kehidupan di dunia menuju kehidupan kekal di Akhirat kelak. Namun, hanya alim ulama' yang benar-benar pakar dalam bidang ini yang boleh mengeluarkan hukum (istinbat) menurut adab-adab ilmu yang tertentu disamping berbincang (muzakarah) sebelum menyatakan fatwa-fatwa tertentu ke atas sesuatu perkara.
Atas dasar keilmuan inilah Islam berkembang dan dapat diterima pakai secara menyeluruh di mana-mana negara di dunia pada bila-bila masa. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda di dalam sebuah hadith, "sesungguhnya para alim ulama' itu adalah pewaris para Nabi".
Para alim ulama' pakar dalam bidang keagamaan, maka sudah tentu mereka sedar dan faham setiap perkara yang ingin mereka ketengahkan. Tetapi masih ada masyarakat yang cetek pemikiran melawan golongan alim ulama' ini secara terbuka seolah-olah mereka lebih arif tentang ilmu agama.
Sejarah Mungkin Berulang
Allah s.w.t. secara terang lagi nyata menceritakan perihal golongan homoseksual (seks sesama jantina) di dalam al-Qur'ān melalui kisah kaum Nabi Lut dalam surah al-Shu'arā', surah ke-26 ayat ke-160 hingga 175. Kaum yang engkar dengan ayat-ayat Allah s.w.t. ini diberikan hukuman bencana[1] iaitu diterbalikkan tanah tempat tinggal mereka ke dalam perut bumi hanya setelah mereka menafikan maksiat homoseksual selepas berkali-kali dinasihatkan oleh Nabi Lut supaya bertaubat dan kembali kepada ajaran Allah s.w.t. yang benar.
Ini menunjukkan kepada kita bahawa usaha membanteras gejala sebegini wajib dilakukan bagi mencapai hidup yang diredhai-Nya. Jika usaha membanteras dan membaikpulih masyarakat yang rosak langsung tidak dibuat, Allah s.w.t. akan menghukum kaum tersebut dengan pelbagai bencana dan penderitaan dalam pelbagai sudut. Sudahkah umat Islam di Malaysia sedar berbagai wajah malapetaka yang menimpa masyarakat sejak akhir-akhir ini?
Penurunan al-Qur'ān jelas memberi amaran kepada manusia akan sejarah umat-umat terdahulu yang membelakangkan ayat-ayat Allah s.w.t. sehingga mereka dijatuhkan bala bencana sebagai balasan menafikan kebenaran yang sudah ditunjukkan di hadapan mata dan kepala mereka. Peristiwa ini tidak mustahil akan berulang jika perkara yang sama dilakukan oleh masyarakat hari ini.
Mitos-mitos Pengkid
Jika ditanya kepada masyarakat umum, ramai yang akan membuat andaian bahawa budaya pengkid ini lahir daripada kisah putus cinta antara lelaki dan perempuan. Setelah itu, perempuan tersebut tertekan lalu menjadi pengkid kerana lebih mudah untuk berhubungan tanpa berisiko untuk dipermainkan oleh lelaki berhidung belang.
Ada juga beberapa mitos pengkid yang bermula akibat asuhan ibubapa di rumah yang mengenakan pakaian lelaki kepada anak perempuan atau tidak menghiraukan anak perempuan mereka yang suka berpakaian lelaki. Semua ini benar dan terbukti dalam menyuburkan budaya pengkid dalam masyarakat tetapi punca-punca ini adalah punca picisan yang hanya membaja fahaman pengkid.
Punca utama kelahiran budaya yang merosakkan ini adalah daripada kegagalan menanam kefahaman aqidah yang sahih ke dalam diri setiap manusia. Al-Qur'ān secara jelas merakam kisah golongan homoseksual yang dilaknat lalu dihukum dengan azab yang sangat hina. Namun, berapa ramai umat Islam yang benar-benar menghayati kisah ini sebagai panduan hidup masa kini? Seorang muslim yang bersungguh-sungguh berpegang kepada aqidah yang sahih langsung tidak akan terpedaya dengan timbulnya perasaan 'pelik' dalam diri tatkala melihat jantina yang sama sebagai tempat melempiaskan nafsu serakah.
Pengkid juga digambarkan sebagai lebih memahami wanita yang bermasalah dalam percintaan berbanding lelaki. Kenyataan ini ada benarnya kerana pengkid juga adalah wanita! Namun, jika dikaji lebih mendalam, alasan bahawa pengkid lebih memahami wanita adalah batu loncatan semata-mata dalam membuka jalan yang lebih mudah untuk memuaskan nafsu seks tanpa sekatan. Malah, masyarakat akan memandang pelik apabila wanita yang tinggal serumah atau sebilik disabitkan kesalahan sosial walaupun salah seorang daripada mereka adalah pengkid.
Lambakan hiburan dan budaya seronok (hedonisme) yang disiarkan dalam media massa menjadi satu cabang utama kelahiran budaya jijik ini yang perlu dicantas serta-merta. Kehidupan yang berteraskan material dan kepuasan perasaan diri individu yang dipamerkan dalam televisyen terutamanya, menggalakkan pembiakan budaya pengkid dalam kalangan kanak-kanak serta remaja sekolah. Malah, dalam salah satu drama 'Islamik' Indonesia yang ditayangkan di televisyen, watak Olivia sebagai seorang perempuan ditonjolkan menjadi lelaki bernama Ruben dalam babak penyamaran jantina.
Penyuburan kemungkaran yang halus di dalam media sebegini harus diberi perhatian serius oleh semua peringkat masyarakat! Sesuatu perlu dilakukan sebelum nasi menjadi bubur.
Membetulkan Salah Faham Pengkid
Islam mengiktiraf 'khunsa' iaitu dari segi syarak bermaksud seseorang yang diragui jantinanya sama ada mempunyai kedua-dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki tapi batinnya perempuan atau sebaliknya. Pengiktirafan ini menunjukkan Islam memandang golongan khunsa sebagai manusia normal tetapi dalam beberapa sudut seperti ibadat, golongan ini diberi penetapan khas.
Contohnya penetapan posisi mereka dalam solat sudah ditetapkan oleh jumhurulama' yang menyatakan bahawa khunsa mesti berada di saf ketiga selepas dewasa dan kanak-kanak lelaki. Saf di belakang golongan khunsa adalah wanita.
Namun masyarakat harus memberi perhatian serius terhadap isu pengkid dan maknyah yang meniru lagak jantina berlawanan. Golongan ini tidak dikategorikan sebagai khunsa dan hukumnya jelas adalah haram di sisi Islam kerana mengubah kejadian fitrah diri manusia. Bukan sahaja lagak yang ditiru, malah sebenarnya golongan ini membawa pemikiran penyair wanita Greek purba iaitu Sappho.
Islam sama sekali tidak membenarkan budaya yang keji ini untuk bertapak subur dalam masyarakat atas alasan merosakkan aqidah. Allah s.w.t. memberi amaran keras kepada manusia menerusi al-Qur'ān dengan merakamkan kisah kaum Nabi Lut supaya umat Islam sentiasa mengingati dan mengambil ibrah atas peristiwa yang berlaku terhadap kaum terdahulu. Ternyata orang yang masih mempertahankan naluri jijik sebegitu langsung tidak beriman serta mengamalkan apa yang dibawa oleh al-Qur'ān! Na'uzubillah.
Kebanyakan pengkid akan menggunakan alasan naluri semulajadi yang timbul dalam diri secara tidak sedar atau akibat suasana masayarakat sekeliling. Putus cinta, salah didikan ibubapa, pengaruh kawan, sifat ingin mencuba, seks pengkid lebih selamat kerana tidak mengandung, pengkid lebih memahami wanita, adalah antara alasan kosong yang sengaja ditimbulkan untuk memberi lampu hijau kepada kemudahan golongan ini dalam memperluaskan jajahan maksiat mereka.
Persoalan seterusnya adalah kesan budaya pengkid yang boleh menyebabkan gejala sosial seperti lari dari rumah, hedonisme yang berlebih-lebihan sehingga meleret kepada arak dan dadah, dan juga perceraian suami isteri! Lupakah kita bahawa pengkid pernah menggemparkan tanah air ini apabila melarikan diri bersama seorang isteri yang sudah pun mempunyai anak? Kerosakan rumahtangga sebeginilah yang boleh menimbulkan lagi lebih banyak gejala sosial yang merosakkan sistem kehidupan manusia.
Saya sangat terkilan tatkala membaca temubual beberapa pengkid Islam di dalam Harian Metro yang mencemuh ulama' seperti kawan mereka sendiri. Alasan-alasan akal berlandaskan nafsu serakah semata-mata dapat dilihat daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka ini. Para alim ulama' harus dijadikan kawan sebagai tempat rujukan segala permaslahan hidup, bukannya melayan ulama' seperti kawan sendiri!
Falsafah Kebahagiaan Lesbian
Walaupun golongan pengkid tidak pernah menelaah karya-karya Sappho secara serius, atau mengkaji falsafah lesbian yang dibawanya, asas ideologi ini tumbuh daripada akar yang sama iaitu bertuhankan rasional akal sambil berlapikkan nafsu seks semata-mata.
Perkataan 'lesbian' yang digunapakai hari ini adalah terbitan daripada nama pulau Lesbos yang didiami oleh Sappho sekitar tahun 625 hingga 570 sebelum Masihi. Sappho mengukir perasaan 'cintanya' kepada wanita melalui ayat-ayat indah dalam sajaknya. Malah, sejarah lesbian terawal ketika itu bermula setelah Sappho menjalinkan hubungan serius dengan murid perempuannya.
Tomboi dan pengkid sebenarnya adalah peringkat bertatih sebelum tiba ke peringkat lesbian yang lebih sejati di mana wanita lesbian adalah wanita dalam bentuk wanita sebenar tetapi bernafsu kepada wanita lain. Mengapa tomboi dan pengkid selalunya dilihat di Malaysia tetapi tidak di Barat?
Di Malaysia, budaya ketimuran yang dipenuhi dengan adab dan sopan masih kuat dipegang. Malah, sandaran Islam sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia menjadi teras kukuhnya asas akhlak serta moral masyarakat di Malaysia. Walaupun fahaman sekularisasi dan juga liberalisasi Islam kian merebak dalam setiap nadi masyarakat Islam di Malaysia, beberapa perkara dasar yang lain seperti penukaran jantina dan perkahwinan sesama jantina masih dianggap tidak bermaruah. Tidak mustahil suatu hari nanti masyarakat di Malaysia akan menerima budaya lesbian dan perkahwinan sesama jantina ini sebagai norma hidup iaitu setelah fahaman sekularisasi dan liberalisasi Islam merebak pantas dalam institusi kekeluargaan dan keagamaan.
Di Barat, budaya lesbian ini diterima pakai akibat sikap individualistik yang begitu subur oleh setiap rakyatnya. Setiap perbuatan rakyat langsung berlandaskan seseorang individu di mana hak seseorang manusia bergantung atas dirinya sendiri. Maka, setiap naluri ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun bercanggah dengan nilai moral manusia dianggap baik atas alasan membenarkan hak individu terbabit untuk berkelakuan. Sifat ini ternyata sangat berlawanan dengan budaya kemasyarakatan di Malaysia.
Apabila sikap seseorang individu dianggap hak seseorang individu, maka lesbian dengan mudah terima oleh masyarakat Barat. Jika analogi dibuat, lesbian adalah makam tertinggi golongan pengkid. Bezanya, pengkid di Malaysia boleh dikategorikan sebagai peringkat permulaan lesbian sebelum menyambung peringkat tengah kepada lesbian dan seterusnya peringkat seksual tertinggi iaitu biseksual (bernafsu seks kepada lelaki dan wanita).
Jika dilihat dengan teliti, permulaan lesbian bukannya terjadi secara tiba-tiba tetapi didahului dengan luahan perasaan 'pelik' kepada kaum sejenis. Apabila luahan tersebut tidak bertepuk sebelah tangan, maka kedua-dua individu tadi akan memulakan hubungan yang serius. Namun, apakah saripati budaya jijik ini? Jawapannya, kepuasan biologi tubuh (jasadi) semata-mata.
Islam langsung tidak meletakkan keperluan jasadi sebagai matlamat puncak kepada kebahagiaan. Malah, makna kebahagiaan dalam Islam merangkumi aspek yang sangat teras dan mencakupi sudut dalaman (batiniah) diri manusia iaitu kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Kebahagiaan yang dimaksudkan ini menjadikan Akhirat sebagai tujuan hidup di dunia.
Kebahagiaan dunia dalam pandangan Islam pula bukanlah dari sudut material atau jasadi semata-mata, tetapi dalam ertikata kebahagiaan rohani dan akhlak yang ditumbuh subur atas aqidah yang dibajai dengan ketaqwaan yang benar. Sejarah pembukaan dan perkembangan kota Madinah di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w. membuktikan betapa sejahteranya hidup manusia apabila berlandaskan Islam. Maka, garis jelas inilah yang memisahkan pemikiran dan adab hidup masyarakat Islam dengan selainnya.
Menurut Imam al-Ghazali, kebahagiaan yang hakiki adalah ilmu pengenalan mengenal Allah s.w.t. (ma'rifatullah).
Seks Halal
Secara semulajadi, fitrah diri manusia memerlukan pasangan hidup sebagai pelengkap kebahagiaan diri serta kemandirian generasi yang seterusnya. Malah, hubungan seksual juga secara saintifik menunjukkan kitaran hormon manusia menjadi lebih stabil dan melancarkan sistem biologi tubuh. Maka, perkahwinan menjadi salah satu keperluan manusia sebagai pintu kepada hidup berpasangan.
Islam membenarkan seks antara lelaki dan wanita. Namun, pengiktirafan hubungan ini wajib disalurkan melalui akad nikah yang sah. Hubungan seks yang tidak melalui proses ini dijatuhkan hukuman haram dan berdosa. Malah, hubungan seks suami isteri adalah ibadat jika melalui perkahwinan dan didasari hukum-hakam yang dibawa oleh Islam. Di dalam sebuah hadith, ketika Rasulullah s.a.w. ditanya tentang persetubuhan, baginda menjawab, "sebagaimana seseorang itu berdosa apabila melakukan atas perkara yang haram, dia juga akan memperoleh pahala jika dilakukan atas perkara yang halal".
Perkahwinan itulah yang menghalalkan hubungan seks. Lebih terperinci lagi, perkahwinan antara lelaki dan perempuan.
Walaupun percintaan antara lelaki dan wanita seringkali dianggap puncak kepada perasaan kasih sayang yang sering ditonjolkan oleh media massa, harus diingat bahawa Islam meletakkan cinta kepada Allah s.w.t. sebagai cinta teragung dan menyeluruh dalam segala tindak-tanduk seharian. Dengan itu, segala hukum-hakam serta syari'at Islam diberi keutamaan paling tinggi dalam meletakkan manusia sebagai hamba kepada Allah s.w.t. hatta dalam persoalan cinta.
Katagender dan Food-Not-Bombs
Demonstrasi Katagender dan Food-Not-Bombs boleh dilihat sebagai kesilapan umat Islam di Malaysia dalam menyampaikan faham Islam yang sebenar. Pengeluaran fatwa pengharaman pengkid bukanlah jatuh kepada semua kaum di Malaysia tetapi tertakluk hanya kepada masyarakat yang beragama Islam.
Dalam demonstrasi tersebut juga, kumpulan ini dilihat seperti 'menang sorak, kampung tergadai'. Isu pembelaan hak wanita yang digembar-gemburkan kumpulan ini ternyata tersimpang jauh daripada matlamat yang sebenarnya. Pengharaman pengkid sama sekali tidak menindas kaum wanita di Malaysia, malah membela nasib kaum wanita apabila mengawal unsur-unsur tidak sihat yang mula menjangkiti rakyat Malaysia saban hari.
Kecetekan ilmu juga dapat dilihat tatkala kumpulan ini melaungkan slogan-slogan yang agak kelakar. Contohnya, 'pengkid bukan jenayah', 'nenek saya berambut pendek, ada masalah?', dan sebagainya.
Takrifan pengkid bukanlah berambut pendek semata-mata, tetapi pemikiran serta budaya tidak sihat yang dibawanya. Malah, di dalam Islam, wanita-wanitanya dituntut memakai tudung secara sempurna walaupun ramai wanita Islam hari ini berambut pendek. Jika dilihat dengan penuh berhikmah, pemakaian wanita Islam yang sempurna sama sekali menyekat mana-mana wanita daripada berkelakuan lelaki akibat had pergerakan yang terhasil daripada menutup aurat.
Asas pengharaman pengkid bukan bermakna meletakkan pengkid dalam kategori jenayah, tetapi menyekat dan membanteras pemikiran dan budaya jijik yang dibawa. Islam sama sekali tidak membuka jalan ke arah kerosakan aqidah serta akhlak, maka pintu utama ke jalan tersebut perlu ditutup serta-merta.
Mengapa isu pengeksploitasian wanita secara globalisasi melalui syarikat berlianDe Beers tidak dijadikan asas perjuang kumpulan ini? Mengapa penindasan dan kerosakan wanita melalui pelacuran tidak dibela? Isu-isu sebegini yang harus diberi perhatian oleh Katagender dan Food-Not-Bombs, bukan isu pengharaman pengkid. Ternyata sekali asas kumpulan ini bukanlah menegakkan hak asasi wanita, tetapi sengaja mempolemikkan keharmonian masyarakat Islam di Malaysia.
Apa Perlu Buat?
Pengharaman pengkid sepatutnya dilihat sebagai salah satu usaha pembaikan masyarakat yang harus digembeleng bersama, bukan sebagai satu hukuman keras ke atas golongan ini sehingga menyingkirkan mereka daripada masyarakat. Kajian komuniti terhadap golongan ini seperti punca utama, punca perkembangan, kesan-kesannya terhadap aqidah umat Islam, kesan-kesannya terhadap institusi kekeluargaan di Malaysia, dan sebagainya seharusnya diberi perhatian serius.
Pendekatan program Latihan Aktivis Dakwah dalam Isu-isu Sosial (LANDAS) yang digunapakai oleh Urusetia Menangani Gejala Sosial[2] (UNGGAS) yang berpusat di Kedah sewajarnya diambil iktibar. Remaja yang bermasalah sama sekali tidak dihukum malah dikaunseling secara terbuka dan lembut ketika aktiviti ini dijalankan. Pendekatan ke akar umbi masyarakat sebegini membuka mata ramai peserta yang hadir sehingga menjadi salah satu program bulanan yang dianjurkan oleh UNGGAS.
Pemahaman tentang isu-isu masyarakat secara langsung boleh membuka mata masyarakat betapa seriusnya kebejatan sosial yang berlaku sehingga merosakkan aqidah umat Islam. Andaian-andaian sesat tentang kebaikan pengkid harus ditolak serta-merta dan cara yang terbaik adalah dengan mendekati golongan ini di dalam masyarakat.
Apabila masyarakat lebih suka berada di hadapan televisyen menonton drama, gemar bersiar-siar ke tempat-tempat peranginan yang menarik, sehingga mereka ini buta realiti masyarakat, maka lahirlah salah faham terhadap beberapa isu-isu penting yang membelenggu masyarakat.
Hentikan Islam Liberal Serta-merta!
Kesan-kesan kerosakan pemikiran yang dibawa oleh kumpulan liberalisasi Islam nampaknya sudah menghasilkan generasi yang berpemikiran seperti mereka. Pembelaan hak asasi manusia adalah antara medium utama yang menjadi sandaran golongan ini dalam membawa virus liberal sehingga simptom-simptom kepincangan aqidah jelas kelihatan saban hari.
Saya menyeru pihak yang berkewajipan memberi perhatian serius membanteras penyebaran fahaman Islam Liberal ke dalam masyarakat yang menggunakan media massa, manipulasi pendidikan agama, dan sekularisasi makna kebaikan dalam Islam sebagai pengisian-pengisian utama fahaman ini. Usaha ini sudah lama digembeleng serius oleh Persatuan Ulama' Malaysia cawangan Pulau Pinang (PUMPP) yang banyak membantu UNGGAS. Namun, masyarakat juga harus sedar dan berusaha mencegah fahaman sebegini daripada merebak sekadar termampu.
Semoga Islam masih lagi bertapak di dalam diri manusia di Malaysia tanpa dipesongkan oleh golongan Islam Liberal yang licik berdakyah dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment