SAHKAH solat kita jika berimamkan orang yang berfahaman syiah? Apakah ciri-ciri orang yang bermazhab ini dan adakah ia termasuk dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)?
JAWAPAN:
Kebanyakan orang yang terpengaruh dengan syiah pada hari ini adalah kerana tanggapan mereka imam-imam syiah itu berasal daripada ahli bait Rasulullah SAW.
Sebenarnya tanggapan ini adalah salah dan jauh tersasar, kerana tidak ada bukti yang kukuh dari sudut salasilah keturunan. Yang kedua, kerana bertentangan dengan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Syiah al-Zaidiyyah sahaja yang diterima oleh ASWJ. Ini kerana al-Zaidiyyah hampir kepada mazhab Syafie.
Selain syiah al-Zaidiyyah tiada jalan untuk menerima mereka dalam kumpulan ASWJ kerana banyak penyelewengan yang terkandung dalam ajaran mereka.
Sebahagian daripada kesesatan ini telah dinyatakan oleh ramai tokoh sarjana Islam, mungkin itu baru sebahagian.
Ini kerana konsep taqiyyah yang difahami oleh golongan syiah menjadikan kita prejudis dengan ajaran mereka, kerana konsep kepura-puraan di hadapan orang yang bukan sealiran dengan mereka menjadikan kita agak ragu dengan kejujuran ajaran mereka.
Pendekatan ini sangat bercanggah dengan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Menyembunyikan ajaran Islam yang sebenarnya adalah menyerupai Bani Israel yang menyembunyikan isi kandungan al-Taurat.
Para pendita mereka daripada kalangan Yahudi sengaja menyembunyikan kebenaran dan menzahirkan kepalsuan dan kesesatan.
Kalau ajaran syiah itu benar, selari dengan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, apa perlu merekabertaqiyyah?
Allah SWT telah menegaskan di dalam al-Quran bahawa Islam itu telah sempurna dasarnya, melalui ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.
Firman-Nya yang bermaksud: …Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Maidah: 3)
Sikap imam-imam syiah pertentangan dengan ayat ini, kerana setiap imam ada hak untukmemansukhkan mana-mana ayat al-Quran dengan memberi pendapatnya untuk dipegang.
Seorang tokoh Syiah bernama Nashiruddin al-Thusi dalam bukunya Talkish al-Syafy berkata: Menolak imamah adalah kufur sebagaimana menolak kenabian adalah kufur. Ini kerana kejahilan berkenaan kedua-duanya adalah dalam batas yang sama.
Logika imamah adalah logika kenabian dan tujuan kemestian adanya kenabian merupakan tujuan yang sama dari kemestian adanya imamah. Saat terpancarnya kenabian, saat itu juga merupakan saat terpancarnya imamah.
Demikianlah, dakwah berkesinambungan dengan dua lisan, lisan kenabian dan lisan imamah dalam satu garisan yang sama. Al-Imamah memiliki keistimewaan atas kenabian kerana ia berlanjut setelah terhentinya kenabian. (M. Qurasih Shihab dalam Sunnah-Syiah Bergan dengan Tangan! Mungkinkah?, ms. 115 ).
Kepercayaan syiah
Ada pun ciri-ciri akidah atau kepercayaan syiah yang duduk dalam kategori ini, ia adalah seperti berikut:
1. Tahrif al-Quran (Mengubah al-Quran)- kepercayaan sebahagian orang syiah bahawa al-Quran yang tulen adalah apa yang asalnya dalam penjagaan Fathimah r.ha anak Rasulullah SAW (Mushaf Fathimah) manakala al-Quran sekarang ini sudah diubahsuai dengan dibuang ayat-ayat berkenaan kepimpinan Ahl al-Bait.
Ada juga dakwaan bahawa para tokoh syiah memiliki hak untuk mengubah kandungan al-Quran.
Perkara ini dinafikan oleh para tokoh syiah semasa. Malah mereka membuktikannya dengan menggunakan seluruh sumber ASWJ daripada al-Quran sehinggalah kepada sumber hadis dan sejarah.
2. Al-Bada' bermaksud mengetahui tentang sesuatu yang sebelumnya tidak diketahui. Dikatakan, Tuhan bersifat al-Bada' sehingga Dia mungkin menetapkan sesuatu lalu kemudian menukar ketetapan itu.
Di kalangan tokoh syiah ada yang menetapkan keyakinan ini dan ada yang menafikannya.
3. Raj'ah yang bermaksud kembali, iaitu orang yang mati akan kembali hidup di dunia ini (sebelum hari kiamat).
Setepatnya, apabila Imam Mahdi muncul satu hari nanti, sekumpulan pengikutnya yang telah mati akan hidup semula berjuang bersama Imam Mahdi.
4. Taqiyyah, iaitu berpura-pura. Sikap ini ditekankan oleh para tokoh Syiah satu masa lalu sebagai strategi menghadapi kezaliman orang yang membenci mereka. Kini ia jarang-jarang diamalkan oleh syiah kontemporari.
Mereka tidak segan-segan atau tidak berpura-pura dengan keyakinan mereka, sebaliknya mengemukakannya dan mendakwahkannya kepada orang ramai.
5. Jelmaan Tuhan. Terdapat serpihan daripada orang Syiah yang disebut sebagai al-Qaramitah yang berkeyakinan Ali bin Abi Talib r.a adalah jelmaan Allah di muka bumi.
Terdapat juga aliran al-Khaththabiyah yang berkeyakinan Ja'far al-Sadiq rahimahullah adalah jelmaan Allah di muka bumi. Keyakinan kedua-dua aliran ekstrem ini tidak mewakili aliran utama Syiah dan ia telah pupus masa kini.
6. Jibrail Tersilap. Ada juga serpihan yang mempercayai malaikat Jibrail a.s tersilap dalam membawa wahyu pertama yang mengangkat seseorang menjadi Rasul.
Ia sepatutnya dibawa kepada Ali bin Abi Talib, namun tersilap kepada Muhammad bin Abdillah. Serpihan yang dikenali sebagai al-Ghurabiyah kini telah pupus.
Dalam rangka berdakwah dan membetulkan aliran syiah, saya berpandangan enam keyakinan di atas tidak perlu diberi perhatian kerana pengikut syiah itu sendiri tidak lagi mempercayainya dan mereka tidak menjadikannya sebagai dasar akidah.
Sebaliknya berilah perhatian kepada keyakinan yang membentuk dasar akidah mereka sekarang ini, seperti mana yang akan dijelaskan seterusnya.
Namun solat berimamkan orang syiah yang terseleweng akidahnya sedang makmum mengenali imam itu seorang syiah maka solatnya batal.
Ini kerana hakikatnya dia tidak beriman kepada Allah SWT dan tidak beriman kepada Rasulullah SAW.
Jika makmum tidak ketahui bahawa imam itu seorang syiah dan juga jahil mengenai ajaran yang dianuti oleh imam yang syiah itu maka solatnya sah, kerana dia tidak menyedari dan perbuatannya di luar pengetahuannya.
No comments:
Post a Comment