Saturday, 30 April 2011

Istighozah satukan umat

PERSIS berada di Padang Mahsyar. Begitulah suasana Istighozah kubra di Masjid Agung An-Nur, Pekanbaru, Riau, Indonesia, Jumaat lalu. Ia apabila lautan manusia yang majoritinya berjubah putih berkumpul di pekarangan masjid tersebut.

Sejak subuh lagi, umat Islam di situ berkumpul beramai-ramai untuk bermunajat kepada Allah SWT supaya dipelihara daripada segala mara bahaya dan dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh tiga qari terkenal Indonesia diketuai oleh Kiai Prof. Dr. Said Aqil Hussein Munawwar yang juga bekas Menteri Agama Indonesia.

Turut hadir, Kiai Dr. Nur Muhamad Iskandar dan Gabenor Riau, Dr. H.M. Rusli Zainal.

Rombongan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang diketuai oleh Yang Dipertuanya, Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir turut dijemput ke majlis ini.

Alunan ayat suci al-Quran itu amat mengasyikkan apabila mereka secara bergilir-gilir membacanya dengan bertarannum.

Dimulakan dengan lagu bayaati diikuti hijaz, soba, nahwand, ras sebelum ditutup dengan lagu bayaati.

Istighozah adalah perkataan Arab yang bermaksud meminta pertolongan. Di negara-negara Arab, istighozah bermaksud doa khusus yang diucapkan oleh seorang tokoh atau ulama.

Bagaimanapun, di Indonesia, ia difahami sebagai zikir yang dilakukan secara berjemaah dan biasanya di tempat terbuka.

Tujuannya mendapat petunjuk dan pertolongan Allah SWT.

Doa-doa yang dibaca adalah yang selalunya diamalkan oleh ahli tarekat walaupun adakalanya ia ditokok-tambah dengan doa yang lain.

Istighozah juga diisi dengan tazkirah oleh ulama yang mengajak para hadirin bermuhasabah dan kembali melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Majlis ditutup dengan bacaan doa yang dipimpin oleh ulama secara berganti-ganti.

Di Indonesia, istighozah diadakan buat kali pertamanya pada 25 Disember 1997 secara terbuka di padang bola, Tambak Sari, Surabaya.

Sejak itu, majlis ini terus mendapat sambutan masyarakat dan dihidupkan oleh penduduk setempat di pelbagai daerah termasuk di Pekanbaru sejak tahun 2004.

Sementara itu, Kiai Dr. Nur Muhamad dalam tazkirahnya mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan dakyah mereka yang kononnya pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Sebaliknya, kata beliau, mereka sebenarnya adalah Ahli Fitnah Wal Jamaah (AFWJ) kerana berusaha memecah belahkan umat Islam.

"Mereka mendakwa sambutan Maulid Nabi itu bidaah, Israk Mikraj itu bidaah kerana ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW semasa hayatnya.

"Jika begitu pemahamannya, saya mencabar mereka supaya tunaikan haji naik unta atau kuda kerana Nabi SAW juga tidak menaiki kapal terbang ke Mekah," katanya.

Sementara itu, Kiai Dr. Said Aqil Hussein turut membidas golongan AFWJ dengan kiasan baru belajar satu atau dua kitab sudah mahu mengeluarkan fatwa.

"Saya sering bertanya kepada golongan ini di mana bidaahnya sambutan Maulid, Israk Mikraj, Awal Muharam, istighozah dan sebagainya.

"Cuba mereka hadir bersama-sama kita pada majlis begini. Baru mereka tahu. Yang kita baca adalah al-Quran, selawat dan zikir semuanya memuji Allah dan Nabi SAW," tegasnya.

Majlis istighozah yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 umat Islam di Pekanbaru itu tamat pukul 10 pagi.

No comments: