Saturday, 12 November 2011

~~~AL-QURAN DAN KELUARGA BAHAGIA~~~

Al-Quran  menjelaskan  bahawa  Nabi  kita saw adalah  contoh teladan yang baik untuk
dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia.
 
Firman Allah swt yang bermaksud:
"Demi  sesungguhnya  adalah  bagi  kamu  pada  diri  Rasulullah saw  itu  contoh ikutan 
yang  baik,  iaitu  bagi  orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan 
(balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak 
(dalam masa susah dan senang)". 
(Surah Al-Ahzaab : Ayat 21).

Ayat  tersebut  menjelaskan  bahawa  mereka yang  mengharapkan  keredaan Allah dan 
balasan  yang  baik  di akhirat nanti disamping  mereka tergolong dari kalangan mereka 
yang banyak mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik dari segala 
yang  terbaik  ialah diri Rasulullah saw. Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita 
ingin  menjalani  hidup  dan  kehidupan  di dunia  ini dengan penuh rasa kebahagian dan 
menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi 
diri  Baginda  saw  dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang 
mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.

Mempertingkatkan  kualiti  keislaman,  keimanan  dan  ketaqwaan  kita  adalah  diiktiraf sah 
sebagai  anak  kunci  sebuah  kebahagiaan  yang  hakiki.  Oleh  itu terpulanglah kepada kita 
sejauhmana  ikhlasnya  niat  kita  dan juga  usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga 
yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan "Kalamullah" dan berpandukan
contoh teladan  yang  ditunjukkan  oleh  Nabi  besar  kita  Muhammad  saw yang diiktiraf oleh
Allah swt yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta
Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.

Oleh  itu,  segala  contoh  ikutan  yang  ingin  diambil  oleh  umat  Islam  sama  ada  sebagai 
pemimpin,  ketua  keluarga,  majikan,  pendidik.  pelajar,  tokoh  korporat  dan   sebagainya
semuanya  ada di dalam  diri  Rasulullah saw . Dengan itu, memperbetulkan kembali model
ikutan  kita  dengan  menjadikan Rasulullah saw  sebagai role model adalah satu kewajiban
dan tuntutan agama yang perlu dilakukan oleh kita umat Islam.

No comments: